Sunday, January 20, 2013

Teruskan Bercinta dengan Nabi.



Bulan Rabiul Awal telah pun tiba. Mungkin ramai yang akan "menyambut" Maulidur Rasul. Ada diantara kita yang buat Kuliah sempena Maulidur Rasul, ada juga yang mengadakan perarakan Maulidur Rasul. Terpulang kepada semua. Yang penting, kita sentiasa berselawat dan tanamkan perasaan cinta kepada Rasulullah S.A.W.

[1]. Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun Gajah. Kelahiran baginda sungguh bermakna kepada seluruh umat manusia. Baginda diutuskan sebagai seorang UTUSAN kepada seluruh umat manusia, sebagai Pemberi khabar gembira,sebagai Penyeru ke jalan Allah, Pemberi amaran dan Lampu yang menerangi kegelapan.

[2]. Apabila kita kenali dan hayati bagaimana susuk badan Nabi, MasyaAllah sungguh cantik bila dibanyangkan.

  1. Warna kulit putih kemerah-merahan menggambarkan warna kulit yang cantik dan menarik.
  2. Wajah beliau tidak berbentuk bulat sepenuhnya, tetapi sedikit bujur sirih. Kedudukan pipi yang agak tinggi. Muka laksana bulan purnama yang terang menggambarkan berserinya wajah Rasulullah.
  3. Mata yang besar dan bercelak sebagaimana Ali berkata "Rasulullah mempunyai mata yang besar."
  4. Bentuk hidung yang cantik; agak lurus dan sedikit tinggi dipertengahan hidung beliau, serta tepi lubang hidung yang agak tirus.
  5. Pipi yang putih sebagaimana Ammar bin Yasir berkata "Rasulullah memberi salam sebelah kanan dan kirinya sehingga dilihat putih pipinya." (Direkodkan oleh Ibn Majah)
  6. Saiz kepala yang agak besar.
  7. Mulut luas dan cantik serta gigi tersusun indah. Jabir bin Samurah berkata, "Rasulullah mempunyai mulut yang luas dan cantik. Beliau adalah hamba Allah yang mempunyai dua bibir yang sangat cantik, serta hujung mulut yang sangat indah. Gigi depan dan taringnya tersusun indah diatas dan dibawah. Apabila beliau bercakap, dapat dilihat seperti cahaya keluar dari celah gigi depannya."
  8. Pendengaran yang tajam.
  9. Suara agak garau.
  10. Air liur penyembuh dan berkat.
  11. Tengkuk yang bercahaya. Ali bin Abi Talib berkata, "Leher Rasulullah seakan-akan cerek perak."
  12. Bahu lebar.
  13. Tapak tangan yang halus, besar, harum dan berkat.
  14. Dada luas dan bidang, berbulu cantik menganjur dari dada ke pusat.
  15. Dahi luas dan berseri.
  16. Percakapan dan bahasa yang hebat
  17. Ketawanya adalah senyum. Abdullah bin al-Harith berkata, "Aku tidak pernah meihat seorang yang lebih banyak tersenyum dari Rasulullah. Beliau tidak bercakap melainkan disusuli dengan senyum. Beliau paling banyak ceria dan seorang yang paling baik."
  18. Khatamun Nubuwwah. Jabir bin Samurah berkata, "Aku melihat cap itu (cap kenabian) di antara bahu Rasulullah, ketulan merah seperti telur merpati, ia menyerupai tubuhnya."
  19. Keindahan dalaman. Sebagaimana Allah sebut dalam Al-Quran, Surah al-Qalam, ayat 4, maksudnya "Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia."
[3]. Jikalau fizikal Beliau begitu cantik dan indah, ditambah dengan akhlak acuan Al-Quran, semua manusia pasti akan jatuh cinta kepadanya. Itulah Nabi Muhammad S.A.W, Rasul Terulung dan Terakhir.

[4]. Ada yang bertanya, namu bagaimana kah kita hendak mencintai Baginda S.A.W? Justeru, saya menyarankan beberapa perkara penting untuk kita menambahkan dan mengoptimumkan perasaan kasih dan sayang kita kepada Rasulullah S.A.W.:
  1. Memperbanyakkan SELAWAT dan SALAM keatas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran, "Sesungguhnya Allah dan Para Malaikat-Nya sentiasa berselawat keatas Nabi Muhammad S.A.W, Wahai orang-orang beriman, ucapkanlah selawat dan salam keatas Baginda dengan sebaik-baiknya."
  2. Mempraktikkan SUNNAH nya dalam kehidupan seharian kita. Banyak amalan sunnah yang boleh kita amalkan dan istiqamah seperti, bersugi, berwudhuk dan sebagainya.
  3. Sentiasa membaca sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad S.A.W. Dengan itu, kita boleh menghayati secara mendalam kehidupan Nabi semasa dilahirkan sehingga Baginda wafat.
[5]. Justeru, pada bulan Rabiulawal ini, marilah kita sama-sama mempertingkatkan kecintaan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahualam.

Sumber: Buku "Ku Damba Cintamu Ya Rasulullah." oleh Ustaz Nik Muhammad Nasri bin Nik Malik.

FROM: Haiqal Syahid.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...